KUCHING: Kerajaan Sarawak melaksanakan sebanyak 322 projek bekalan air di bawah Projek Rakyat bagi menyelesaikan isu di kawasan kritikal dan tidak mempunyai akses bekalan air.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, projek yang bernilai kira-kira RM2 bilion yang dirancang menunjukkan kemajuan.

Menurutnya, sebanyak 266 projek disasarkan siap menjelang tahun 2020 dan beberapa lagi yang disifatkan kompleks mungkin berlarutan sehingga 2021.

“Sebanyak 217 daripada projek ini yang bernilai kira-kira RM2 bilion dianugerahkan dengan 87 daripadanya berskala kecil sudah selesai di pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Sementara itu, sembilan projek berjumlah RM417 juta berada di peringkat penilaian tender dan 40 projek masih dalam reka bentuk.

“JBALB turut berjaya menyelesaikan isu air di Siburan, Kabong, Meradong, Balingian, Sungai Asap dan sebagainya,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Utiliti di Dun, semalam.

Jelasnya, tahun hadapan kementeriannya diperuntukkan RM5.17 bilion untuk pembangunan dan penyediaan perkhidmatan utiliti di kawasan luar bandar.

Sebanyak RM2.8 bilion digunakan untuk bekalan air dan RM2.37 bilion untuk elektrik.

Menurut Rundi, kementerian-nya turut memulakan Pelan Induk Bekalan Grid Air Sarawak sebagai pendekatan menyeluruh pembangunan lestari kemudahan air mentah dan terawat.

“Sebagai pelan tindakan pembangunan masa depan bekalan air, rancangan induk ini akan menyediakan pelan jangka pendek sehingga 2025, jangka sederhana sehingga 2040 dan jangka panjang sehingga 2070.

“Ia menyentuh tiga teras strategik melibatkan permintaan air, rawatan air dan pengedaran serta kualiti dan kecukupan air mentah dan terawat. “Pelan tersebut dijangka siap menjelang akhir tahun ini dan skim baharu yang dikenal pasti akan dikemukakan untuk pembiayaan pada RMK-12,” ujarnya.

Tambahnya, Lembaga Air Kuching (KWB) sebagai pihak berkuasa bekalan air utama untuk Wilayah Selatan, manakala Lembaga Air Sibu (SWB) bertanggungjawab ke atas Wilayah Tengah dan LAKU Management Sdn. Bhd. (LAKU) bagi Wilayah Utara.

Rundi berkata, selain membangunkan projek pihaknya memandang serius isu kehilangan dan pembaziran air (NRW).

Justeru, katanya kementerian sudah memulakan Program Pengurusan NRW secara holistik menanganinya berasaskan teknologi. “Di bawah pendigitalan program bekalan air JBALB untuk mewujudkan platform maklumat bersepadu iaitu Water Supply Command Centre dijangka dapat memantau, menguruskan, dan menangani pelbagai masalah dengan berkesan yang terdapat dalam bekalan infrastruktur air dan sistem rangkaian melalui pemantauan NRW.