SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak telah mengeksport sejumlah 12 tan ikan tilapia ke negara Singapura pada bulan lepas.

Dalam perkara itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan bahawa pihak Singapura sangat berpuas hati dengan kualiti ikan berkenaan dan mahu jumlah tilapia yang dihantar pada masa akan datang ditingkatkan.

Menurutnya lagi ini akan menambah jumlah pendapatan penduduk-penduduk kampung yang menternak tilapia selain menjadi penggalak untuk rakyat Sarawak menjerumus ke arah bidang penternakan.

“Ini akan menambah pendapatan orang kampung yang menternak tilapia yang kita hantar daripada Batang Ai. Apabila dihantar ke sana, taukey (pengusaha dari Singapura) datang ke Sarawak dan mahu ikan-ikan ini ditambah.

“Saya tanya kepada beliau kenapa, taukey itu menjawab bahawa ikan tilapia dari Sarawak lebih baik daripada ikan tilapia Semenanjung Malaysia.

“Dan (apa sebabnya) kerana rasa ikan tilapia dari Sarawak tidak berpasir seperti dari Semenanjung, dan tilapia Sarawak lebih segar,” ujarnya selain menambah isi ikan tilapia Sarawak lebih kemerahan berbanding yang diimport dari Semenanjung.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun Ketiga Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di sini, malam Isnin.

Turut hadir di majlis itu ialah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi MPKS, Datuk Peter Minos.