KUCHING: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Sri Michael Manyin Jawong akan ke Putrajaya untuk bertemu dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik supaya menggugurkan larangan terhadap wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadiri sebarang acara di sekolah negeri ini.

Menurut Manyin, pertemuan itu nanti adalah untuk merayu kepada Kerajaan Persekutuan menggugurkan larangan terbabit kerana yang menjadi mangsa adalah para pelajar.

“Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menerima pesanan yang melarang wakil rakyat GPS menghadiri acara sekolah di Sarawak daripada Menteri Pendidikan.

“Malah, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan turut mengesahkan yang keputusan terbabit dibuat oleh Kabinet (Kerajaan Persekutuan),” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dun Ke-18 di sini, semalam.