KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diperintahkan untuk membela diri namun itu bukan bermakna diri beliau bersalah.

Jelas beliau, prinsip tersebut akan terus terpakai sehinggalah kes perbicaraan selesai sepenuhnya dan hukuman dijatuhkan.

“Walaupun Datuk Seri Najib diperintahkan untuk membela diri namun ia tidak bermakna beliau didapati bersalah jadi prinsip itu akan terus terpakai sehingga kes ini selesai,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen  semalam seperti dipetik portal Umno.

Bekas Perdana Menteri semalam diperintah membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wujudkan kes prima facie bagi ke semua tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ketika ditanya berkaitan satu lagi keputusan mahkamah yang menolak satu usul daripada seorang peguam untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular sebagai tidak berparlimen jelas Khairy, semua pihak harus menerima kerana tafsiran Perlembagaan hanya boleh dibuat di mahkamah.

“Saya belum baca tetapi saya merasakan mahkamah adalah tempat terbaik untuk putuskan dan sekiranya mahkamah sudah buat keputusan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan tidak melanggar undang-undang maka kita kena terima sebab tafsiran Perlembagaan hanya boleh dibuat di mahkamah,” tegas beliau lagi seperti dipetik portal itu.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menafikan kebenaran kepada peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang menurutnya bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Keputusan itu dibuat Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed.