KRETA: Kushila Stein, 45, dilaporkan hilang di laut 37 jam sebelum diselamatkan di Laut Aegean, 101 kilometer dari Kreta.

Selama 37 jam di laut, Kushila memberitahu dia bertahan dengan makan gula-gula yang kebetulan dibekalkannya untuk perjalanan ini.

Selain itu, dia membungkus dirinya dalam plastik untuk memanaskan badan. Menurut ibunya, Wendy Stein, Kushila menemani rakannya berlayar menggunakan kapal persiaran dari Turki ke Athena.

Kushila kemudian menggunakan sampan melawat Pulau Folegandros.

Namun, dalam perjalanan pulang ke kapal persiaran itu, salah satu pendayungnya jatuh laut.

Apabila Kushila tidak kembali ke kapal mengikut jadual ditetapkan, pemilik kapal terbabit melaporkan kehilangannya kepada pihak berkuasa.

Operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan enam kapal, helikopter dan dron bawah laut segera dilakukan oleh penjaga pantai.

Setelah ditemui Kushila segera dibawa ke hospital kerana terlalu lama terdedah pada cahaya matahari dan dehidrasi.

Menurut Kushila sepanjang berada di laut, dia menulis nama ibunya dan butiran peribadinya di atas kotak kerana bimbang dia tidak akan selamat.

Sebaik sahaja tiba di hospital, Kushila menghubungi ibunya memberitahu dia masih ada satu lagi gula-gula yang belum dimakannya.