Konvesyen Negeri Parti Amanah Negara Negeri Sarawak diadakan julung kali di bandar Sibu bertempat di RH Hotel, 9 November lepas, selesai dengan jayanya.

Konvesyen yang saya kira membawa seribu kenangan indah buat diri saya, barangkali juga pada teman saya lain asal-usul keturunan “Sibu”. Di sinilah tempat kelahiran, medan permainan dan baka keturunan bermastautin berpahat paut.

Konvesyen kali ini bukan sekadar konvesyen biasa, ia merupakan konvesyen memilih Ahli Jawatankuasa (AJK) Negeri yang baru untuk sesi 2019-2022. Alhamdulilah, suasana konvesyen pemilihan berjalan aman, damai dan dikendalikan dengan teratur. Barisan kepimpinan baru yang dipilih adalah mengikut landasan sistem demokrasi parti, bersih dan tanpa sebarang manipulasi.

Saya bersyukur kerana dalam pemilihan penting ini tiada sedikit pun perkara serta elemen yang boleh menimbulkan kontroversi hingga boleh mencederakan imej parti. Semua terikat dengan peraturan serta undang-undang yang ditetapkan. Semua perwakilan, pemerhati, calon, AJK Negeri lama dan semua ahli menunjukkan tahap profesional serta sikap matang yang tinggi. Itulah sikap Rahmatan lil Alamin yang sebenar.

Ada yang kalah dan ada yang menang. Tidak dinafikan juga ada yang tidak dicalonkan berkecil hati. Namun itu lumrah berorganisasi. Ada juga suara yang tidak enak kedengaran tentang barisan baru, namun perjuangan harus diteruskan suka atau tidak. Berorganisasi atau berparti adalah kerja berjemaah bukan kerja “one man show”.

Yang penting Amanah harus bergerak di persada politik negeri Sarawak seiring rakan parti komponen PH yang lain. Menyusun langkah mengembangkan parti dan sayap serta bersiap siaga menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) yang akan datang.

Saya kalah pemilihan kawasan, namun saya bangkit semula dalam pemilihan negeri. Saya bertekad sekiranya ahli tidak memilih saya, saya harus bangkit dengan berlainan cara asalkan tidak mencemarkan nama baik parti. Amal niat utama di hati saya adalah memberi perkhidmatan dan kebajikan terbaik buat rakyat. Teringat saya hadis yang diriwayat oleh Imam Nawawi,

“Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya, sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehnya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya.”

Moralnya di sini Parti Amanah Negara adalah hak kita semua dan kitalah yang mencorakkannya dan menjaganya sebaik mungkin. Kalau kepimpinan yang dipilih tidak bekerja atau sekadar “dami”, maka ahli boleh menukar kepimpinan itu mengikut saluran demokrasi parti setiap tiga tahun sekali.

Justeru, saya mengucapkan jutaan terima kasih saya kepada keseluruh pewakilan, pemerhati dan ahli Amanah Negeri Sarawak yang komited hadir pada konvesyen dan majlis makan malam.

Tidak ketinggalan juga jutaan terima kasih saya kepada penganjur konvesyen iaitu Amanah Kawasan Tanjung Manis yang saya kira melakukan penganjuran yang amat baik dan berjaya sekali gus membuktikan kepimpinan serta ahli parti Amanah Kawasan Tanjung Manis tersusun atur gerak kerja.

Saya dan kami menghargai setiap ahli dan paling saya hargai adalah sikap matang anda semua. Semoga sikap yang ada pada anda berterusan untuk selamanya.

Marilah teman-teman semua kita maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.

Hud Andri Zulkarnaen
Timbalan Pengerusi Amanah Sarawak