KUCHING: Statistik daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), PDRM Sarawak menunjukkan 64 kes penderaan telah melibatkan kanak-kanak telah direkodkan dari 2017 hingga September tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kesemua kes berkenaan telah dibuka kertas siasatannya yang juga melibatkan 64 mangsa berumur 18 tahun ke bawah.

Menurutnya lagi, daripada jumlah tersebut, enam kes masih dalam siasatan polis manakala 18 kes telah diberi status tiada tindakan susulan, atas alasan seperti tiada elemen jenayah, kecederaan tidak konsisten, pengadu tarik balik laporan, suspek Orang Kurang Upaya (OKU) dan mangsa menafikan telah didera.

Beliau berkata demikian ketika menggulungkan perbahasan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke 18 disini pagi Selasa.

Dalam perkembangan lain, Program Randau Pembangunan Sosial merupakan program yang menyelitkan komponen berkenaan peranan ibu bapa dalam menangani tingkah laku anak-anak, keselamatan diri kanak-kanak, kesedaran pendidikan seksualiti dan sebagainya.

Ia turut bertujuan untuk memberi kemahiran dan kompetensi serta sebagai inisiatif pencegahan bagi mengelakkan kanak-kanak menjadi mangsa atau terjebak dengan kes penderaan kanak-kanak atau isu-isu sosial yang lain.