SIBU: Jika pada Khamis lalu berlaku kejadian pokok tumbang di bandar raya  Kuching, angin kencang malam kelmarin turut menyebabkan beberapa batang pokok yang ditanam di beberapa lokasi  bahu jalan bandar ini tumbang.

Pokok tumbang itu berlaku  di Jalan Bako, Jalan Dr Wong Soon Kai, Jalan Ulu Oya dan juga Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2.

Sehubungan itu Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC)  Clarence Ting dalam kenyataan melalui Facebooknya mengarahkan para petugas majlis itu untuk memeriksa pokok-pokok yang ditanam di bahu-bahu jalan di bandar itu.

Beliau meminta pihak SMC mencantas pokok yang berisiko untuk tumbang akibat angin kencang.

Di Kuching, pihak DBKU  dalam satu kenyataan berkata, pokok yang ditanam lebih daripada 30 tahun akan dikaji semula.

Kata kenyataan DBKU, kajian semula berkenaan adalah bagi memastikan pokok terbabit selamat kepada orang ramai terutamanya pada musim angin kencang dan hujan lebat.

“Cadangan untuk menebang semua pokok di sepanjang jalan bukan penyelesaian sewajarnya,” jelas DBKU dalam kenyataan media.

Pokok memberi keselesaan dan keindahan kepada kawasan bandar raya.

Ia memainkan peranan untuk mengimbangi suhu dan iklim bandar raya, menapis haba, dan menyerap gas pencemar seperti karbon dioksida melalui proses fotosintesis.