KUALA LUMPUR: Gara-gara terlalu mabuk, seorang lelaki tidak sedar dirinya sedang berjalan dalam keadaan bogel di Jalan Kinabalu, di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berkenaan berjaya dihentikan anggota polis yang berada di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah kejadian berlaku kira-kira jam 3.27 petang selepas pihaknya menerima maklumat terdapat seorang lelaki sedang berjalan dalam keadaan bogel di hadapan bangunan Daya Bumi.

Bertindak atas maklumat, sebuah kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota polis berjaya memujuk lelaki tersebut untuk masuk ke dalam kereta peronda tanpa sebarang kelakuan agresif.

Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit tidak mempunyai masalah mental sebaliknya mengakui mengambil minuman keras akibat tidak dapat mengawal tekanan perasaannya ekoran masalah peribadi.

Tindakan berbogel di khalayak ramai juga dikatakan tidak disedarinya kerana terlalu mabuk.

Anggota polis berkenaan juga telah membelikannya pakaian dari kedai pakaian terpakai dan memberikan wang saku untuk dijadikan tambang pulang ke rumahnya di Brickfields.