SIBU: Kerajaan pusat khususnya Kementerian Pendidikan  digesa supaya tidak mempolitik agenda bidang pendidikan supaya murid-murid tidak menjadi mangsa disebabkan bermasalah politik.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee yang juga Adun Nangka mendakwa terdapat arahan  lisan tidak membenarkan wakil rakyat GPS masuk ke kawasan sekolah.

“Kita belum dapat arahan  hitam putih, tetapi arahan dalam bentuk lisan sudah kedengaran. Kalau masuk ke sekolah boleh, tetapi bukan untuk memberi sebarang ucapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Murid Tahun Enam Sekolah-Sekolah DUN Nangka Ke-3 di Dewan Suarah di Sibu, semalam.

“Yang penting bukan ucapan saya, yang penting apa saya janji saya tunaikan, dan saya dapat sumbangkan kepada anak-anak bagi masa depan mereka,” kata Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam itu lagi.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak  membelanjakan lebih RM350 juta bagi pembangunan pendidikan di negeri ini  sejak Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi ditubuhkan.

Jelas Dr Annuar,  apa yang dilakukan kerajaan negeri  adalah untuk memastikan pelajar di negeri ini mendapat pendidikan yang sempurna dan terbaik, meskipun hakikatnya  pendidikan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.