KENYATAAN Timbalan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan, Prof Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin mengenai jawatan kosong yang tidak diisi di Malaysia agak mengejutkan.

Katanya, 600,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang di negara ini masih tidak diisi.

Salah satu puncanya ialah siswazah yang terlalu memilih pekerjaan dan kursus yang diambil tidak menepati keperluan industri.

Sedangkan jumlah siswazah di negara kita sekarang ini mungkin tidak sampai 100,000.

Jadi, secara teori, jika ada 600,000 peluang kerja, maka tidak timbul isu pengangguran dalam kalangan siswazah di Malaysia.

Namun, ia hanya teori.

Yang pasti, siswazah tidak akan semberono mengisi jawatan yang tidak setimpal dan tidak selaras dengan kelulusan mereka.

Berapa ramai siswazah hari ini yang sanggup menceburkan diri dalam kerjaya yang tidak diminati, semata-mata untuk menyahut seruan kerajaan agar tidak terlalu memilih pekerjaan.

Bagi siswazah menganggur yang terdesak untuk mendapatkan pekerjaan demi membantu keluarga di kampung, mereka mungkin tidak ada pilihan.

Bagi mereka, adalah tidak wajar untuk menganggur setelah empat tahun memerah otak di universiti, di samping berhabis ribuan ringgit.

Namun persoalannya, adakah mereka ini akan kekal untuk jangka masa yang panjang, atau hanya menjadikan ia sebagai ‘batu loncatan’ untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan sesuai dengan kepakaran masing-masing.

Harus juga diingat, setakat mana potensi yang boleh mereka tawarkan ketika menjawat jawatan yang tidak ‘kena’ dengan keupayaan dan kelayakan yang mereka miliki.

Misalnya, siswazah jurusan sastera, menjawat jawatan pengurusan periklanan dalam organisasi swasta.

Bagaimanapun, hakikatnya, terpulang kepada individu itu sendiri. “Kata orang, kalau nak seribu daya, kalau tak nak seribu dalih”.

Siswazah perlu bijak membuat pilihan dan penilaian, kerana sepanjang mereka berada di pusat pengajian tinggi, mereka dididik dengan nilai-nilai murni, sebagai seorang manusia yang mampu berfikir secara positif mahupun kreatif serta dapat membuat keputusan secara rasional dan bijak.

Sebaik melangkah keluar dari menara gading, mereka seharusnya sudah ada perancangan atau sekurang-kurangnya mempunyai idea untuk menghadapi ‘pasaran kerja’ yang tidak menentu dan penuh dengan liku-liku di luar sana.

Sebagai siswazah, mereka juga perlu berfikir di luar kotak, tidak terlalu bergantung kepada ruang kerjaya terhad yang ditawarkan oleh pihak kerajaan atau swasta. Mereka sewajarnya boleh bertindak sebagai pencipta kerja, bukannya hanya sebagai penunggu kerja.