KUCHING: Petani dapat menjadi sebahagian rangkaian bekalan makanan.

Untuk itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berharap para petani mengikuti jejak langkah usahawan yang berjaya dengan mendapatkan  akreditasi MyGap dan sebagainya bagi membolehkan produk menembusi pasaran luar.

Jelas beliau bantuan seperti geran, pinjaman modal teroka serta nasihat teknikal dan profesional tersedia untuk membantu petani tempatan Sarawak mengusahakan  pertanian mereka secara besar-besaran.

Beliau berkata kerajaan negeri berazam  membantu petani buah-buahan yang memperlihatkan minat dan komitmen untuk membesarkan perniagaan mereka.

Jelas beliau, kerajaan bersedia membantu petani tempatan meneroka ke pasaran yang lebih besar seiring dengan aspirasi negeri untuk menjadi pengeksport bersih makanan dan produk makanan menjelang 2030.

Kata Uggah lagi, tidak lama lagi, keperluan dan permintaan terhadap benih- buah-buahan akan meningkat.

“Ini akan menjadi perniagaan besar apabila lebih banyak orang menyertai industri berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat Semukoi Agro Farm Sdn Bhd di KM79 Jalan Serian-Sri Aman, dekat sini semalam.

Ladang berkenaan milik usahawan agro Dayak Iban, Terence S.Landong yang mengendalikannya dengan ahli keluarganya, mengusahakan tanaman rock melon Jepun.

“Saya gembira kerana semakin ramai usahawan daripada kalangan penduduk tempatan menyertai industri ini,” katanya.

“Mereka melakukan tugas membantu memenuhi aspirasi negeri menjadi pengeksport bersih makanan dan produk makanan menjelang 2030,” katanya,” katanya.