BINTULU: Gerakan mencari dan menyelamat(SAR) lelaki kurang upaya(OKU), Augustine Mesir, 32, yang dilaporkan hilang sejak  sepuluh hari lepas dihentikan selepas beliau pulang ke rumah keluarganya di Rumah Minggat, Sungai Jelai, Tatau, awal pagi semalam.

Kepulangan lelaki OKU itu dimaklumkan sendiri oleh ibubapa mangsa di Balai Polis Tatau, kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tatau DSP Dennis Bunyam semasa mengesahkan kes tersebut memberitahu soal siasat ke atas mangsa, pihak dimaklumkan Augustine hanya makan buah-buahan hutan sepanjang berada dalam hutan bagi menahan lapar.

Difahamkan, mangsa  turut membawa lampu picit semasa berjalan di hutan dan  bermalam di pondok kebun milik penduduk kampung sekiranya ingin tidur dan berehat,” ujarnya.

Dengan kepulangan mangsa telah menamatkan usaha pencarian sejak sepuluh hari lalu oleh pasukan SAR.

Augustine telah dilaporkan hilang dari rumah oleh ibu bapa mangsa pada 31 Oktober lalu, sebelum laporan polis dibuat berhubung kehilangannya pada pagi 4 November.

Gerakan SAR mangsa telah dimulakan pada hari berikutnya sebelum mangsa disahkan pulang ke rumah, semalam.