IPOH: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan pertuduhan kes membabitkan pemimpin-pemimpin PH yang digugurkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bukanlah suatu kebetulan.

“Kita lihat hingga hari ini, PH gagal mempamerkan integriti pemimpin mereka yang terlibat dengan pelbagai salah laku yang menyalahi undang-undang negara seperti terbabit dengan kes rasuah, rogol, LTTE dan sebagainya.

“Kepincangan tindakan Tommy Thomas yang dilihat berat sebelah dan berpihak kepada DAP dan PH jelas mempamerkan ketidakadilan beliau dalam menjalankan tugas sebagai Peguam Negara.

“Apa yang kita lihat hari ini, bukan suatu kebetulan. Selepas seorang demi seorang pertuduhan ke atas pemimpin DAP digugurkan begitu sahaja tanpa menjelaskan sebab-sebab yang tertentu. Ini membuktikan, tanggungjawab sebagai Peguam Negara itu tidak relevan lagi diberikan kepada beliau.

“Pengguguran kes perbicaraan Adun DAP, P Gunasekaran yang didapati memiliki item yang berkait dengan LTTE ini sungguh tidak wajar. Di mana letaknya integriti beliau selaku Peguam Negara?” tegas Ustaz Idris.

Beliau juga menyatakan kekesalan terhadap tindakan Tommy Thomas yang giat bertindak mengikut telunjuk DAP biarpun tindakan itu dilihat tidak berintegriti.

“Dalam keadaan seorang pelajar Melayu ditahan bertahun-tahun di bawah SOSMA kerana memiliki buku mengenai militan IS, pemimpin DAP yang memiliki item berkait LTTE pula semberono dibebaskan.

“PDRM antara kumpulan yang bekerja bertungkus-lumus menyelesaikan kes-kes salah laku negara. Namun apabila kepincangan ini berlaku, nyata hal ini membebankan tugas mereka,” bidasnya.

Ustaz Idris menyatakan bahawa Kerajaan PH pada hari ini ‘cakap tidak serupa bikin’ di mana sebelum ini mereka mengkritik perjalanan kehakiman negara yang ditadbir oleh Kerajaan BN, namun jelas warna sebenar mereka apabila kini mentadbir negara.

“Rakyat perlu mendesak Tommy Thomas supaya segera letak jawatan dan digantikan dengan individu yang lebih berwibawa, berintegriti dan bermaruah demi untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan di negara ini.

“Rakyat sedang menilai taktik kotor DAP ini. Suatu kenyataan di mana rakyat perlu fahami ialah kebiadaban DAP dalam menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi mereka. Oleh itu, layaklah mereka menjadi kerajaan sepenggal sahaja,” tempelaknya lagi.