KUCHING: Kejadian pokok tumbang pada Khamis lepas akibat hujan lebat dan angin kuat di beberapa jalan utama di Bandaraya Kuching telah mendapat perhatian dari Kerajaan Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Menteri Muda Bekalan Air, Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata pihaknya mencadangkan kepada DBKU untuk mengadakan proses penanaman semula dengan menggantikkan pokok yang usianya telah matang dan tua kepada pokok-pokok baharu yang kuat akarnya selain kurang mengeluarkan daun-daun.

“Saya cadangkan kepada Pentadbiran dan Pengurusan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk membuat proses penanaman semula seandainya pokok tersebut telah pun matang sampai usia tua dan digantikan dengan tanaman pokok-pokok yang lebih kuat dan pokok-pokok itu mempunyai akar tunjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Santuni Alam Sekitar: Sayangi Sungai Kita anjuran Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di Esplanade Kampung Gersik, pada Ahad.

Datuk Dr. Abdul Rahman turut mencadangkan penanaman pokok-pokok baharu nanti dengan menggantikannya kepada pokok-pokok yang kurang mengeluarkan daun-daun.

“Pokok yang kurang mengeluarkan daun-daun. Daun-daunnya tidak jatuh semena-mena.

“Ada Jenis pokok yang daunnya akan jatuh mengikut musim dan tidak gugur sepanjang hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga akan mencadangkan penanaman pokok buah-buahan di kawasan DBKU seperti yang pernah dicadangkan warga Kuching sebelum ini.

“Untuk menanam pokok buah-buahan. Pokok yang menghasil buah-buahan seperti pokok asam, pokok manggo dan pokok durian.

“Tapi, yang lebih sesuai boleh ditanam di dalam kawasan tertentu. Tidak menjadi satu perkara mustahil untuk dipraktikan untuk menanam pokok buah-buahan di kawasan DBKU,” katanya.