MIRI: Seorang penganggur warga Indonesia ditahan serta dadah bernilai RM1,000 dirampas dalam serbuan di Taman Rekreasi pekan Batu Niah pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, suspek seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan pada pukul 9.15 pagi bersama 5.65 gram dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan dalam kotak rokok kecil.

“Di dalam kotak rokok tersebut mengandungi 19 keratan tiub straw pelbagai saiz yang diisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik Bernama.

Lim berkata, siasatan awal mendapati suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menyatakan permohonan reman akan dibuat hari ini.