KUCHING: Dalam usaha melonjakkan arena sukan di negeri ini, Perbadanan Sukan Sarawak melangkah setapak lagi ke arah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan menggariskan 13 projek baharu dalam RMK-12.

Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, 13 projek baharu tersebut diyakini memberikan hasil berkualiti tinggi termasuk perolehan peralatan sukan berprestasi tinggi bagi program kejurulatihan dan latihan.

Jelasnya, projek-projek berkenaan juga akan mengoptimumkan prestasi, interaksi dan penggunaan stadium serta tempat-tempat sukan yang lain.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan bagi Kementerian Belia Dan Sukan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-18,hari ini.

Abdul Karim menambah, pihak kementerian akan menjalankan pengkomersialan kemudahan sukan yang akan ditingkatkan dengan penglibatan orang awam di arena sukan masing-masing, dan pentadbiran dan pengurusan sukan dalam masyarakat yang lebih baik .

Jelasnya, antara projek berkenaan adalah seperti, Pusat Sukan Berprestasi Tinggi di Petra Jaya, Kuching; Litar Go-Kart Sarawak F1 di Petra Jaya, Kuching;  Pusat Velodrome Di Petra Jaya, Kuching, Skeet & Trap, dan Pistol Range di Sarawak Shooting Range, Petra Jaya, Kuching; Sistem Lampu Led untuk Stadium Sarawak, Stadium Negeri, Padang C, Padang D serta Lampu Jalan di Petra Jaya, Kuching; Muzium Sukan Sarawak di Petra Jaya, Kuching; Meningkatkan Kemudahan Stadium dan Sukan ke Konsep Stadium Pintar di Petra Jaya, Kuching; Menaik Taraf Trek Larian di Semua Stadium di Sarawak , Menaik Taraf Asrama Di Bukit Lima Ke Pejabat Majlis Sukan Negeri, Sibu; Padang Hoki Buatan di Sibu dan Miri serta Pusat Sukan dan Konvensyen Kapit.