TANJUNG PIAI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin BN mampu merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil (PRK) 16 November ini.

Katanya, ini bersandarkan peralihan sikap para pengundi kawasan tersebut yang kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menjaga kebajikan, keharmonian dan kos sara hidup yang tinggi semenjak mereka mentadbir negara.

“Keyakinan ini berlandaskan kepada peralihan sikap pengundi-pengundi di Tanjung Piai.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baru disebabkan oleh penolakan daripada pengundi-pengundi Tanjung Piai khususnya bahawa mereka cukup kecewa bukan kerana hanya harga komoditi yang mereka usahakan menurun, tetapi apabila keperluan barangan meningkat dan kini amat membebankan mereka.

“Saya lihat bukan sahaja di kalangan orang Melayu, Cina dari peniaga kecil hingga pekebun-pekebun ladang kelapa sawit merasa amat kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini,” ujarnya yang juga Presiden UMNO kepada UMNO Online ketika ditemui di program ‘walkabout’ di Kukup, di sini semalam, seperti dipetik portal Umno.

Baru-baru ini calon dari PH, Karmaine Sardini  mengguriskan hati pekebun kelapa sawit dengan mengatakan bahawa harga kelapa sawit RM270 bagi setiap satu tan, pekebun harus bersyukur sangat kerana ia nilai yang banyak, bukannya sedikit.

PRK  Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru iaitu calon BN Datuk Seri Dr Wee Jec Seng, Karmaine Sardini (PH), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ang Chuan Lock. –

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata, PH berdepan cabaran hebat pada PRK  Tanjung Piai sekiranya rakyat menilai prestasi semasa pakatan itu dalam mentadbir kerajaan selama lebih setahun.

Beliau berkata bagaimanapun sekiranya rakyat dapat memahami betapa sukarnya kerajaan hari ini mengendali dan mengemudi pentadbiran sekarang, mereka (rakyat) akan berikan sokongan.

“Kita akui memang ada cabaran, sebab orang (rakyat) ukur kita bukan berbanding dengan yang lama (kerajaan terdahulu), kalau berbanding yang lama kita akan menang, tetapi mereka (rakyat) ukur kita setelah satu tahun setengah kita perintah.

“Tetapi saya yakin Insya-Allah sekiranya mereka dapat fahami betapa sukarnya kita mengendalikan dan mengemudi pentadbiran hari ini, mereka akan beri sokongan,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan pada Sabtu, seperti dilapor Bernama.