KUCHING: Sungai-sungai yang ada di Sarawak boleh dijadikan kawasan daya tarikan pelancong dan pembangunan di sesebuah kawasan.

Menteri Muda Bekalan Air, Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata sungai bukan sahaja sebagai nadi kehidupan sejak dahulu lagi, tetapi juga mampu menjadi daya pembangunan kepada industri pelancongan di Sarawak.

“Sungai dijadikan nadi pembangunan masyarakat setempat.

“Sekiranya sungai tersebut membelah bandaraya maka sungai ya menjadi ikon kepada bandaraya tersebut. Kita lihat Sungai Rhine di Eropah yang membelahi empat negara.

“Jadi, keempat-empat negara ini mengguna sungai untuk membangunkan tempat sidaknya dan menjadi daya tarikan pelanconn,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Santuni Alam Sekitar: Sayangi Sungai Kita anjuran Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di Esplanade Kampung Gersik pada Ahad.

Menurut Datuk Dr. Abdul Rahman lagi, di Sarawak misalnya mempunyai banyak sungai yang boleh dibangunkan untuk dijadikan daya tarikan pelancongan di Sarawak yang memaparkan keindahan alam semula jadi dengan pelbagai spesis flora dan fauna.

“Berusaha untuk memastikan bahawa Sungai Sarawak, banyak lagi sungai, Sungai Batang Lupar, Sungai Rajang dan banyak lagi sungai yang boleh kita bangunkan di Sarawak dan boleh menjadi nadi pembangunan masyarakat setempat dalam pelbagai bidang keindahan alam semulajadi, pelancongan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai percaya bahawa ini merupakan program perintis SABATI dalam usaha memastikan sungai-sungai di Sarawak bersih dan cantik.

“Tapi mungkin akan melibatkan sungai-sungai di tempat lain di Sarawak tok untuk memastikan alam sekitar kita terutama yang mengelilingi sungai tok Adalah tempat yang tercantik dan terindah,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja SABATI Datuk Fatimah Iskandar, penganjuran program ini adalah bertujuan menggalakkan persekitaran hijau dan nyaman dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang diadakan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah yang memfokuskan kepada sungai ialah pameran, ceramah, pertandingan mewarna, lukisan, papan cerita bergambar dan juga esei kepada pelajar TADIKA hingga sekolah menengah,” katanya.