BINTULU: Seorang lelaki warga asing terbunuh, manakala seorang lagi cedera parah ditembak oleh individu tidak dikenali di sebuah ladang sawit di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili ketika mengesahkan kes tersebut memberitahu kedua-dua mangsa berumur antara 27 dan 30 tahun.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja laporan berhubung kejadian diterima daripada orang awam kira-kira jam 2.48 pagi semalam.

Setibanya ditempat kejadian di sebuah rumah terbiar di dalam sebuah ladang sawit terbiar pihak polis mendapati seorang lelaki warganegara asing berumur 30- an telah terbaring dipercayai meninggal dunia akibat terkena tembakan dan terdapat kesan tetakan dileher.

Rakan si mati juga seorang lelaki warganegara asing berumur 27 tahun tercedera di bahu sebelah kanan juga akibat terkena tembakan peluru penabur, ujarnya.

Pemeriksaan ke atas simati, tidak menemui dokumen pengenal diri, manakala..rakan simati yang cedera dikenali sebagai Reno, kata Zulkipli lagi sambil menambah mayat mangsa dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

Tambahnya lagi, pihak polis akan menjalankan iasatan terperinci untuk mengenalpasti suspek yang terlibat, serta motif kejadian.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan keterangan mangsa cedera yang hanya dikenali sebagai Reno, semasa kejadian, kedua-dua mereka sedang duduk berbual di hadapan rumah apabila dikejutkan dengan satu bunyi tembakan.

Kedua-dua mangsa segera berlari menyelamatkan diri ke bahagian belakang rumah.

Bagaimanapun, mangsa rebah di bahagian tepi rumah tersebut dan rakannya yang berusia 27 tahun terus melarikan diri dan bersembunyi di dalam belukar.

Reno yang cedera di bahu kanan akibat terkena tembakan hanya keluar dari tempat persembunyiannya selepas memastikan keadaan benar-benar selamat.

Reno, kemudiannya, melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis selepas mendapati mangsa telah meninggal dunia.