KUCHING: Sarawak akan terus mempertahankan negeri ini sebagai model masyarakat pelbagai kaum yang hidup harmoni, saling bekerjasama, bertolak ansur dan hormat-menghormati.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, amalan hidup bersama tanpa prasangka dan syak wasangka dalam hal kepercayaan menjadi ramuan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini dapat hidup aman damai dan terus mengekalkan perpaduan.

Jelas beliau, survival masyarakat di Sarawak adalah kerana mereka dapat membina kehidupan dan saling mengiktiraf kebaikan masing-masing.

“Di negeri ini, tiada siapa dapat menyakiti hati agama lain dengan membandingkan atau merendah-rendahkan kepercayaan orang lain,” katanya.

“Pelbagai kaum dengan agama berbeza kekal menghormati umat Islam kerana sifatnya yang sederhana, adil, mengambil berat dan tanpa prasangka terhadap kaum lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1441H/2019M di Padang Merdeka di sini, Sabtu.

Jelas Abang Johari, umat Islam di negeri ini perlu memahami secara menyeluruh ajaran Islam yang sebenarnya.

Katanya, kerosakan yang berlaku di Timur Tengah adalah  kerana amalan ideologi yang ekstrem.