KUCHING:  Pusat Latihan Pembangunan Belia (Centexs) di sini menawarkan pelbagai jenis latihan kemahiran untuk golongan yang berminat mencungkil potensi dan menawarkan peluang pekerjaan selepas menjalani latihan.

Menurut Pengurus Besar Centexs Komersial Mohamad Shahren Mohamad Yusri, melalui latihan yang dijalani di pusat itu, pihaknya akan meminta individu terbabit mencipta produk mereka sendiri dan menjualnya kepada pihak Centexs Komersial, iaitu anak syarikat Centexs yang diwujudkan sejak 1 Julai lalu.

Beliau berkata, Centexs Komersial berperanan untuk membantu alumni Contexs menjana pendapatan dan memastikan mereka menghasilkan produk melalui program Heritage Training Centre.

“Apa yang kami bantu adalah dengan mencipta peluang pekerjaan kepada alumni melalui satu aplikasi yang baharu kami lancarkan, iaitu Sarawak Expert (Sara X),” katanya.

Pengurus Besar Centexs Komersial Mohamad Shahren Mohamad Yusri

“Melalui hasil jualan tersebut mereka dapat menjanakan pendapatan mereka secara bulanan kerana pihak kami akan membayar mereka berdasarkan jenis dan kualiti produk yang dijual,” katanya.

Mohamad Yusri menjelaskan, HTC merupakan program yang bertujuan untuk mengekalkan warisan budaya Sarawak.

“Di sini pelajar akan diajar untuk menyulam keringkam, menenun songket dan sebagainya oleh tenaga pengajar,” jelasnya.

Beliau berkata, golongan alumni daripada program berkenaan, pihak Centexs menyediakan tempat khas yang dikenali sebagai inkubator untuk mereka menghasilkan produk secara percuma.

“Produk yang dihasilkan akan dikomersialkan oleh pihak Centexs, dan hasil jualan akan diberi kepada mereka,” katanya lagi.

“Kami berharap agar melalui inisiatif seperti ini, kita dapat mengekalkan budaya warisan kita khususnya dan juga dapat membantu mengurangkan beban golongan masyarakat yang kurang mampu,” katanya.