TANJUNG PIAI: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Pakatan Harapan (PH) bahawa isu pokok Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ialah mengenai pembelaan nasib rakyat, bukan mengenai dirinya.

Selain itu, bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, kerajaan tidak harus memesongkan fokusnya yang sepatutnya ditumpu kepada soal masa depan negara, pentadbiran, serta sejauh mana ia dapat memenuhi kehendak rakyat.

“Saya rasa pelik sebab saya bukan lagi perdana menteri, bukan presiden parti, malah ada saya dengar Timbalan Menteri Pertahanan (Liew Chin Tong) sebut bahawa, kalau Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, maknanya saya menang.

“Ini saya rasa tak masuk akal. Seolah-olah dia calon saya. Wee Jeck Seng calon BN.

“Isunya bukan isu Najib, isunya soal masa depan negara, soal pentadbiran yang ada hari ini, sejauh mana mereka dapat memenuhi kehendak rakyat, sejauh mana mereka dapat membela rakyat. Itulah isu pokoknya, bukan soal saya,” katanya lagi seperti dipetik Astro Awani.

PRK  Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru iaitu calon BN Datuk Seri Dr Wee Jec Seng, Karmaine Sardini (PH), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ang Chuan Lock.