LIMBANG: Islam menggalak umatnya untuk bersama dengan kaum lain dalam usaha mengukuhkan perpaduan yang sedia ada demi kesejahteraan bersama.

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak perkara ini perlu diberikan perhatian memandangkan kita hidup dalam pelbagai kaum, agama dan bangsa di negeri ini.

“Islam menganjurkan perpaduan kerana melalui perpaduan akan lahirlah masyarakat yang harmoni, saling bekerjasama, toleransi dan hormat- menghormati.

“Apatah lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia amnya dan Sarawak khasnya, perpaduan adalah nadi yang mentransfomasikan kita kepada sebuah negeri yang maju, berpendapatan tinggi dan disegani di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Limbang 1441H/ 2019H di Kompleks Sukan Limbang dan Perkarangan Dewan Suarah Limbang pada Sabtu.

Sebanyak 92 kontijen menyertai Pertandingan Sepanduk Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Limbang pada tahun ini berbanding tahun lepas hanya 82 kontijen.

Hujan yang turun semasa perarakan sedang berlangsung tidak mengganggu kelancaran dan semangat setiap kontijen untuk meneruskan perarakan sehingga ke perkarangan Dewan Suarah Limbang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota juga mahu masyarakat Islam di negeri ini mencontohi keperibadian dan tingkah laku Nabi Muhammad S.A.W.

“Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun ini wajar kita jadikan sebagai pencetus bagi menyuburkan keinginan serta semangat untuk mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam apa juga perkara untuk membolehkan kita menjadi hamba Allah yang bertakwa dan umat Islam yang cemerlang,” ujarnya.

Justeru, umat Islam mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman.