KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktitaf peranan penting dan sumbangan besar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai jentera akar umbi dalam membantu memastikan keselamatan serta kemakmuran kampung-kampung di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terdahulu telah mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk JKKK dalam ucapan Belanjawan Sarawak 2020 pada Isnin lalu.

Justeru, beliau mengharapkan agar peruntukan ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh wakil-wakil rakyat bagi JKKK melaksanakan pelbagai aktiviti untuk manfaat dan kepentingan masyarakat. Ini termasuk bagi tujuan keselamatan dan sosiobudaya di kawasan kampung serta menyemarakkan lagi aktiviti kemasyarakatan yang boleh menyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan dalam komuniti setempat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menyempurnakan Majlis Berzikir Sempena Sambutan Maulidur Rasul N8 Satok, di Dewan Merpati Jepang, Jalan Datuk Ajibah Abol, Kuching, hari ini.

Semasa majlis tersebut, beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Satok telah memberikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada 14 kumpulan zikir kawasan N8 Satok yang turut hadir ke majlis berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi Biro Agama N8 Satok, Tuan Haji Hilmy Othman, acara sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN N8 Satok ini adalah julung-julung kali diadakan, selain turut bertujuan mengimbau kembali suasana sambutan Maulidur Rasul yang disambut di kampung-kampung pada zaman dahulu.

Ketika majlis berlangsung, Ketua Menteri turut berkesempatan untuk sama-sama duduk bersila bersama penduduk setempat menikmati hidangan “seperah” masakan kampung Melayu Sarawak. Ujar Hilmy lagi, budaya warisan melayu sebegini harus sentiasa dipraktikkan terutamanya oleh golongan-golongan muda agar tidak lapuk dek ditelan zaman.