KUCHING: DBKU sentiasa mengendalikan pengurusan pokok pokok secara teratur melalui pemeriksaan dan mengawal semua pokok di jalanan dan taman dengan menyeluruh.

Menurut Pegawai Perhubungan Awamnya Awang Mohamad, DBKU juga mengendalikan pemeriksaan tahap kesihatan dan kesuburan pokok di kawasan yang dikenal pasti.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media susulan kejadian sekitar lima batang pokok tumbang di Jalan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub, di sini susulan angin kencang sekitar jam 4 petang pada Khamis.

Kawasan tersebut dilanda angin kencang selama kira-kira 20 minit menyebabkan beberapa pokok di sepanjang jalan raya tersebut tumbang.

Jelas beliau, pokok yang ditanam lebih daripada 30 tahun  dan mencapai usia matang, DBKU bertanggungjawab mengkaji semula keadaannya, dan memastikan ia selamat untuk orang ramai yang lalu di kawasan terbabit.

“Kajian semula berkenaan bagi memastikan pokok-pokok terbabit selamat kepada orang ramai terutamanya pada musim angin kencang dan hujan lebat,” jelasnya.

“Bagaimanapun, cadangan untuk memotong semua pokok di sepanjang jalan bukan penyelesaian yang sewajarnya,” ujar bereliau sambil menambah, pihak DBKU akan mengenal pasti pokok-pokok yang berisiko tinggi.

Jelasnya, pokok berkenaan akan diganti dengan yang baharu supaya dapat bertahan apabila ditiup angin kencang.

Beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu pihak kontraktor Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengalihkan pokok-pokok tersebut.