KUCHING: Lebih 11,000 peserta menyemarakkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak bagi tahun ini.

Dengan bertemakan “Ummah Gemilang”, acara perarakan dan pertandingan Sepanduk dipertandingkan di bawah 10 kategori.

Sebanyak 279 kontinjen mewakili agensi kerajaan, badan-badan berkanun, firma swasta, jawatankuasa masjid dan surau, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), institut pengajian tinggi, sekolah, kontinjen khas (bukan Islam) dan lain-lain lagi.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Perarakan tersebut dibahagikan kepada dua laluan iaitu laluan A (melalui kawasan kampung sejauh 4.2km), manakala laluan B (melalui kawasan bandar sejauh 3.5km).

Selain itu, perarakan tersebut turut menerima penyertaan daripada bahagian Samarahan dan juga bahagian Serian.