KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak  menyaksikan kebangkitan semula banyak kraf tradisionalnya sejak beberapa tahun lepas.

“Kain songket Melayu dan sulaman keringkam telah dihidupkan kembali, manakala hiasan manik Orang Ulu kini menjadi aksesori fesyen yang digayakan dengan meluas dalam kalangan lelaki dan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Rangkaian Bandaraya Kraf Dunia, yang diadakan bersempena forum dwitahunan dunia mengenai eko serat dan tekstil kali ke-10  di Kampus Muzium Sarawak di sini, Jumaat.

Forum selama tiga hari berakhir esok, bertemakan ‘Pakaian dan identiti Kebudayaan’ dihadiri perwakilan dari 20 negara termasuk dari Amerika Syarikat, Britain dan Australia.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Majlis Kraf Dunia (WCC) Antarabangsa dan WCC Rantau Asia Pasifik berhubung projek serta pameran berkaitan kraf tangan di Sarawak.

Beliau berkata, selain menjadi negeri pertama di Malaysia yang diiktiraf sebagai Bandaraya Kraf Antarabangsa oleh majlis berkenaan,  Sarawak turut menerima pelbagai anugerah antarabangsa berkaitan kraf.

“Kami berbangga menjadi yang pertama di Malaysia menerima anugerah ini dan menyertai bandar lain di peringkat antarabangsa seperti Jaipur, Isfahan, Jogjakarta dan lebih 40 bandar antarabangsa lain,” katanya.