KUCHING: Dalam era globalisasi dan digital hari ini, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang mengamalkan konsep Ta’ayush secara harmoni.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, konsep Ta’ayush yang berpandukan daripada model Piagam Madinah adalah bermaksud hidup kebersamaan tanpa rasa prejudis dan syak wasangka khususnya dalam aspek kepercayaan.

Ujar beliau, Sarawak tetap kekal sebagai model masyarakat yang saling bekerjasama dan hormat di antara satu sama lain biarpun terdiri daripapa pelbagai latar belakang dan agama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perarakan dan Perhimpunan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Padang Merdeka di Kuching, pagi tadi.

Seramai 11,158 peserta dari 279 kontinjen membabitkan pelbagai agensi kerajaan, swasta, pertubuhan, serta sekolah mengambil bahagian dalam majlis perhimpunan dan perarakan itu yang bertemakan sambutan “Ummah Gemilang”.