LONG LAMA: Rabies kini diisytiharkan sebagai Bencana Tahap II di Sarawak disebabkan ia telah berlaku di lebih satu kawasan atau daerah.

Menurut Pegawai Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Daerah Marudi Koperal Kannaday anak Francis, bahaya rabies bukan sahaja berlaku di seluruh bahagian di Sarawak, tetapi juga telah menyebabkan beberapa kematian direkodkan.

“Terdapat 21 kes kematian setakat ini yang dicatatkan di Sarawak dan terkini satu lagi kes kematian di Kuching.

“Manakala, terdapat satu kes telah didaftarkan di Klinik Long Miri dalam Daerah Telang Usan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Taklimat Kempen Kesedaran Rabies Daerah Beluru Tahun 2019 di Dewan SJK ( C.) Kee Tee, Long Lama, pada Jumaat.

Sementara itu, bagi Anthony Wit daripada Jabatan Kesihatan Marudi mahu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan membantu menukar mentaliti dan masyarakat yang berada dalam jagaan mereka agar menyedari bahaya Rabies.

“Virus Rabies ini tiada ubat tetapi boleh dicegah daripada berlaku jika amalan pencegahan dipatuhi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihaknya telah mengenal pasti beberapa halangan yang terpaksa dihadapi semasa Operasi Rabies ini.

“Antaranya, kesedaran rakyat terhadap bahaya Rabies ini masih rendah sehingga menyebabkan mereka tidak mahu memberikan kerjasama.

“Program Vaksin Percuma yang datang ke kampung dan rumah panjang tidak dialu-alukan malah ada pemilik anjing menyembunyikan anjing atau melarikan anjing menggunakan perahu dan sebagainya.

“Tidak mahu mendaftarkan anjing dan mendapatkan lesen. Tidak mahu anjing divaksin, khuatir anjing mati dan membiarkan anjing terus berkeliaran,” tambahnya.

Bagi Jok Luhat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Miri pula menjelaskan pemilik anjing tertakluk kepada Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

“Di bawah Seksyen 37(2) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, membiarkan anjing terlepas dan membawa anjing keluar daripada kawasan wabak Rabies tanpa kebenaran bertulis daripada ‘State Veterinary Authority’ boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 bulan jika sabit kesalahan,” katanya.