KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedey Chukpai memohon kementerian pelancongan mewujudkan dan membina lebih banyak lagi Homestay di Apau Koyan memandangkan Pesta Apau Koyan telah disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri.

Menurut beliau, Pesta Apau Koyan mempamerkan keunikan warisan kebudayaan, kesenian dan adat resam masyarakat orang ulu yang mampu menjadi pemangkin kepada industri pelancongan yang unggul di Sarawak.

Malah ‘Tungun Belawing’ yang terletak di Uma Baha, Apau Koyan telah diiktiraf Malaysian Book Of Records yang menjadi tarikan pelancong ke Sg. Asap selain sebagai ‘gate way’ ke Tasik Bakun dan Tasik Murum.

“Saya mohon kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan agar Tungun Belawing ini juga disenaraikan dalam Warisan Negeri,”

“Tentu sekali ramai pengunjung dan pelancong akan melawat tempat-tempat ini dan akhirnya menjadi punca ekonomi baharu dan membawa pulangan ekonomi kepada masyarakat setempat,”

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2020 pada Persidangan DUN semalam.