KUCHING: Pengumuman Belanjawan Sarawak 2020 yang bertemakan ‘Merancakkan Pembangunan untuk Kesejahteraan Seluruh Rakyat Sarawak’ seperti yang dibentangkan Ketua Menteri pada Isnin lepas mendapat sokongan daripada pemimpin di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Haji Arbi berkata peruntukan yang besar dan berterusan bagi pembangunan di kawasan luar bandar ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap keperluan dan kehendak masyarakat luar bandar.

“Rintihan para nelayan yang hanya menerima wang bantuan sebanyak RM200 di bawah Kerajaan PH juga mendapat perhatian dari Kerajaan Sarawak dengan memberi bantuan sebanyak RM300 sebulan pada musim landas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan Sarawak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18, pada Khamis.

Abdul Yakub yang merupakan wakil rakyat dari kawasan luar bandar berterima kasih kepada Ketua Menteri di atas pengumuman peruntukan subsidi bil air dan bantuan penyambungan elektrik seperti dalam Belanjawan Sarawak 2020.

“Saya amat berterima kasih kepada YAB Ketua Menteri yang telah memperuntukan subsidi RM5.00 pertama untuk setiap bulan bil air dan bantuan penyambungan elektrik RM5,000 ke bawah secara percuma,” ujarnya.

Bantuan-bantuan seperti ini dapat meringankan beban penduduk di luar bandar dan langkah terpuji dari Kerajaan Sarawak dengan mengambil berat terhadap keperluan rakyat di kawasan luar bandar.

Beliau turut menyentuh kesungguhan Kerajaan Sarawak yang memperuntukan RM100 juta dalam Belanjawan Sarawak 2020 bagi memperkukuhkan peranan dan kedudukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kita dapat menjangkakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) tidak akan berfungsi dan dilaksanakan dengan baik di Sarawak, walaupun setakat ini kita mendengar penubuhan badan-badan tersebut.

“Kita lebih melihat ianya ditubuhkan sebagai strategi memporak-porandakan masyarakat dan agenda persiapan pilihan raya negeri,” katanya.