KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Kampus Muzium Sarawak dijangka dibuka secara rasmi pada hujung tahun depan.

Kompleks muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara dengan kos RM323 juta itu baru siap.

“Saya sangat gembira jika bangunan ini dapat dibuka secara rasmi lebih awal,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian Forum Jaringan Bandar Kraf Dunia di Kampus Muzium Sarawak, di sini, Jumaat.

“Bagaimanapun, setelah kami bermesyuarat tentang pengisian muzium ini, ia tidak dapat dirasmikan pertengahan atau awal tahun depan,” katanya.

Jelas Abdul Karim,  masa lebih diperlukan untuk mengatur artifak dan melabelkannya.

“Ia akan menjadi muzium termoden,” katanya.

Beliau menyatakan kenyakinannya bahawa Kuching akan menjadi daya tarikan dalam masa dua tahun lagi apabila satu lagi muzium (sebahagian daripada Muzium Sarawak) kini dalam pembinaan, akan siap dan turut dibuka kepada orang awam.

“Apabila dua buah muzium ini dibuka, Kuching akan menjadi lebih menarik,” katanya lagi.

“Ia akan menjadi destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi,” ujarnya.