MIRI: Pejabat Daerah Subis dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengadakan Kempen Kesedaran Rabies Daerah Subis pada Jumaat.

Menurut Pegawai Tadbir Daerah Subis James Jam Jolly, pihaknya memilih kawasan-kawasan yang mempunyai banyak anjing peliharaan dan anjing liar untuk memberikan kesedaran awal kepada pemilik anjing akan bahaya rabies.

Kempen kesedaran ini diadakan selama tiga hari bermula 6 hingga 8 November lalu di tiga lokasi iaitu Rumah Changgai Sg Saeh, Ulu Niah, Rumah Linggu, Pakut dan Pekan Sepupok, Niah.

“Program Kesedaran Rabies bagi Daerah Subis ini diadakan secara santai dan pegawai turun ke kawasan yang dikesan untuk mengedarkan poster dan risalah ke rumah-rumah panjang dan juga perjumpaan bersama ketua kaum di beberapa lokasi untuk edaran poster dan risalah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Kesedaran Rabies di Pekan Sepupok, Niah.

Turut disentuh, taklimat mengenai persediaan penduduk ketika operasi dan makluman berkenaan dengan kerja-kerja memvaksinkan anjing-anjing di kawasan yang telah disenaraikan.

Penganjur turut mengedarkan risalah dan poster di kawasan kedai di Pekan Sepupok.