KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu berpandangan sudah tiba masanya kerajaan Sarawak mengambil-alih pendaftaran dan perlesenan nelayan-nelayan pesisir di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri perlu mempunyai pangkalan data berkenaan nelayan pesisir ini untuk memudahkan perancangan strategik di samping menjaga kebajikan golongan ini.

Hal ini kerana terdapat maklumat mengatakan bahawa permohonan lesen daripada Jabatan Perikanan telah ditutup dan tiada lesen baharu dikeluarkan.

“Sudah banyak usaha dilakukan agar ahli-ahli persatuan yang layak diberikan lesen oleh Jabatan Perikanan, tetapi menurut maklumat, permohonan untuk lesen ini telah ditutup. Tiada lesen baharu dikeluarkan. Ini bererti mereka yang layak tidak akan dapat menikmati pelbagai bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), sebuah agensi Kerajaan Pusat,”

“Namun, Alhamdulillah, cadangan Kerajaan Negeri untuk memberi bantuan tunai sebanyak RM300.00 seorang semasa musim landas amatlah bertepatan sekali. Mereka yang layak juga dapat bantuan membeli peralatan menangkap ikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya pejabat-pejabat Daerah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pendaftaran dan perlesenan ini sebagai permulaan.

Ujar beliau lagi, bilangan nelayan yang mempunyai lesen hanyalah dalam lingkungan 30% sahaja di seluruh negeri Sarawak.