KUCHING:  Kampus Muzium Sarawak yang baharu siap dibina mengalami kerosakan pada struktur siling bumbungnya, akibat angin kencang luar biasa yang melanda bandar raya ini, Khamis.

Kerosakan melibatkan siling di pintu masuk utama, di tingkat bawah bangunan berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kompleks bernilai RM323 juta yang baru siap itu masih di bawah jaminan pihak kontraktor.

“Kita telah minta mereka pihak kontraktor membaiki kerosakan terbabit,” katanya.

 Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian Forum Jaringan Bandar Kraf Dunia di Kampus Muzium Sarawak, di sini, Jumaat.

Foto Jiwa Bakti

Abdul Karim berkata  pada malam Khamis, pemeriksaan awal pihak kontraktor mendapati hanya bahagian siling di kawasan berkenaan mengalami kerosakan.

Jelasnya, bahagian bumbung pula tiada mengalami sebarang kerosakan dikesan.

“Kerosakan siling bumbung itu juga satu hikmah kerana berlaku ketika Kampus Muzium Sarawak masih dalam tempoh jaminan,” jelasnya.

Beliau berkata,  pihak kontraktor diminta memastikan kejadian itu tidak berulang lagi sekiranya angin kencang melanda bandar raya ini.

Katanya, beliau percaya kerosakan siling bangunan itu bukan disebabkan kualiti kerja pembinaan yang rendah, kerana banyak bangunan lain yang turut terkesan akibat angin kencang semalam.