KUALA LUMPUR: Pengundi Tanjung Piai  perlu memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Wee Jeck Seng supaya boleh membawa suara rakyat ke parlimen, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana katanya, pertambahan ahli parlimen BN di parlimen pasti akan memperkuatkan suara rakyat untuk memberikan tekanan kepada kerajaan.

“Pada Ahad lepas semasa saya dan jentera BN menziarahi penduduk Kg Sg. Burung Tanjung Piai ketika berkempen PRK Tanjung Piai, penduduk kampung yang terdiri daripada nelayan dan petani merintih kerana sehingga sekarang mereka masih tidak menerima wang bantuan sejumlah RM2,000 yang dijanjikan oleh kerajaan negeri Johor,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

“Dulu semasa zaman BN, nelayan telah diberikan wang bantuan sebanyak RM2,000!,” katanya.

“Apabila pihak pembangkang memberi tekanan dan menyampaikan suara hati penduduk kampung, baru semalam Menteri Besar Johor mengumumkan akan memberi wang bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 diagihkan kepada nelayan Tanjung Piai bermula minggu depan,” katanya lagi..

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera yakin, jika pembangkang tidak menyuarakan kesengsaraan penduduk kampung Tanjung Piai, sudah tentu kerajaan negeri Johor masih melewat-lewatkan wang bantuan tersebut.

“Sebab itulah, undilah Dr. Wee Jeck Seng calon BN.”

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengumumkan bahawa nelayan di kawasan Johor Selatan termasuk Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 bermula minggu depan.