KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan telah merancang 110 program pembangunan belia dan 142 program pembangunan sukan di seluruh Sarawak.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata kerajaan mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, persatuan-persatuan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan program yang dicadangkan berjalan lancar.

Antara program utama yang telah dilaksanakan ialah Program Jelajah Belia Sarawak, Program Transformasi Belia “Kawan Ku Sayang, Keluarga Ku Kenang” dan Program-Program Rakan Muda.

Program Jelajah Belia Sarawak diadakan bertujuan untuk meningkatkan penglibatan belia dan persatuan dalam program anjuran Kerajaan Sarawak.

“Setakat ini, program ini telah melibatkan seramai 3,332 belia bagi 6 kawasan DUN.

“Program ini akan diadakan di setiap 40 daerah di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee bin Haji Ahmad pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke 18, pada Jumaat.

Sementara itu, bagi Program Transformasi Belia “Kawan Ku Sayang” ianya dilaksanakan bagi membantu meningkatkan jati diri dan memupuk kasih sayang terhadap keluarga dan rakan.

“Program ini bermatlamat untuk membantu belia dalam meningkatkan jati diri, memupuk kasih sayang terhadap keluarga dan rakan, menyemarakkan semangat patriotik, menangani masalah sosial serta menanam sikap berpasukan yang tinggi.

“Program ini merupakan program tahunan yang diadakan di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Manakala, sebanyak 29 aktiviti Program-Program Rakan Muda telah dilaksanakan bagi membina modal insan yang bersatu padu dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Sebanyak 29 aktiviti telah dilaksanakan seperti Program Rakan Muda Kreatif, Program Inspirasu Anak Muda dan Program Rakan Muda Ramadan.

“Program ini adalah bertujuan untuk membina modal insan yang bersatu padu, berdisiplin, aktif, mengamalkan gaya hidup berkualiti dan berdaya maju,” katanya.