KUCHING:  Isu berkaitan pencemaran yang dikesan di dalam loji pengeluaran bersepadu hidrogen berpunca daripada tahap tekanan yang berbeza di dalam loji berkenaan, sudah selesai, kata Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.

Beliau berkata  perkara itu berjaya diselesaikan sepenuhnya oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Linde EOX Sdn Bhd, yang merupakan penyelia teknologi semasa tempoh percubaan prestasi.

Kata Jerip, Linde Eox Sdn Bhd dan SEB akan terus mengetatkan kawalan kualiti untuk kemudahan pengeluaran hidrogen dan stesen isian semula.

Beliau menjelaskan, Sarawak memperuntukkan sejumlah RM16 juta bagi pelaksanaan stesen isian semula dan loji pengeluaran hidrogen bersepadu, termasuk bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan  berkaitan hidrogen.

“Sekali lagi saya jelaskan bahawa penggunaan hidrogen pada kenderaan adalah selamat dan mesra alam,’ katanya.

“Bagi cadangan jumlah stesen dan loji yang akan dibina di negeri ini pada masa akan datang, ia bergantung kepada kajian keseluruhan mengenai berapa banyak yang diperlukan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Violet Yong (PH-Pending) dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Jumaat.

Dr Jerip memberi jaminan bahawa semua langkah keselamatan telah diambil kira bagi memastikan bahan api melibatkan hidrogen bukan sahaja selamat digunakan tetapi mesra alam sekitar.

Katanya lagi,  teknologi hidrogen ialah teknologi saintifik yang sangat kukuh dan  digunakan secara meluas di negara maju seperti Jerman, Kanada, China, Amerika Syarikat, England dan Scotland.

“Negara ini telah mewujudkan standard keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kukuh dalam teknologi ini dalam usaha memastikan ia selamat serta mampan,” katanya.

“Bagaimanapun, kita akan mengambil kira semua faktor bagi memastikan penggunaan hidrogen dalam sektor pengangkutan selamat,” jelasnya.