KUCHING: Keselamatan aktiviti air seharusnya bukan hanya dipikul oleh jabatan bomba dan penyelamat Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama antara setiap agensi serta pemimpin masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, kebanyakan kes lemas dapat dielakkan sekiranya masyarakat umum mempunyai pengetahuan tentang keselamatan air.

Justeru katanya, semua pihak hendaklah mengambil tindakan pencegahan awal apabila kawasan berisiko berlakunya kejadian lemas dikenal pasti.

Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan Program Keselamatan Aktiviti Air Di Sematan Palm Beach Resort, semalam.

Terdahulu, Pengarah Jambatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Khirudin Drahman berharap orang ramai tidak memandang remeh keselamatan ketika melakukan aktiviti air atau semasa melakukan aktiviti pembakaran.

Simbolik penyerahan jaket keselamatan kepada penghulu Jumahdi Sabian yang mewakili ketua-ketua kaum zon Sematan turut diadakan dalam program yang bertemakan ‘life jacket worn, nobody mourns’  dan ‘save the kid you love’ itu. 

Untuk rekod, sebanyak 196 kes kematian lemas sepanjang sembilan bulan pertama di Sarawak.

“Bilangan itu lebih tinggi berbanding mangsa kebakaran yang hanya mencatatkan 93 orang dalam tempoh sama,” jelasnya.

“Diharap agar program keselamatan air ini mampu memberi kesedaran dan langkah awal pencegahan kepada semua peserta,” katanya lagi.