KUCHING: Stesen Pertanian Nanga Engkuah kini telah memulakan operasinya dan diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Pertanian.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata terdapat beberapa komponen utama dalam program yang boleh didapati di Stesen Pertanian.

Antaranya adalah termasuk Input Ladang, Bantuan Padi Bukit, Skim Penanaman Getah Individu dan Skin Pembangunan Ternakan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Datuk Ambrose Blikau Enturan pada Persidangan DUN semalam.

Sementara itu, beliau turut memberitahu kerajaan negeri kini juga sedang mempromosikan pertanian moden seperti menggunakan fertigasi dan sistem hidroponik dengan dilengkapi dengan Internet Benda (IoT).

Jelasnya, inisiatif tersebut adalah untuk menggalakkan belia di negeri ini menyertai sektor pertanian.