SIMUNJAN: Setiap tahun sambutan Maulidur Rasul di peringkat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan diadakan penuh meriah dengan pelbagai acara dan aktiviti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla bin Dris berkata pada tahun ini sambutan Maulidur Rasul sekali lagi dimeriahkan dengan pertandingan pintu gerbang yang merupakan acara tahunan yang diadakan di Daerah Simunjan ini setiap tahun.

Sebanyak 12 buah pasukan yang terdiri di kampung-kampung di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan mengambil bahagian dalam pertandingan Pintu Gerbang.

“Objektif kita adalah untuk mengadakan Sambutan Maulidur Rasul di peringkat Daerah Simunjan di mana kita akan mengetengahkan untuk memeriahkan sambutan dengan mengadakan pertandingan pintu gerbang.

“Jadi, pertandingan pintu gerbang ini adalah acara tahunan bagi Daerah Simunjan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Simbolik Perasmian Pertandingan Pintu Gerbang Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan 1441H/2019M di Padang Sentral Simunjan, pada Rabu.

Dalam memastikan setiap kampung yang terlibat menyajikan persembahan pintu gerbang yang cantik, telah diserahkan peruntukan permulaan sebanyak RM500 kepada setiap pasukan yang bertanding.

Pemenang pintu gerbang akan menerima wang tunai berjumlah RM20,000 bagi Johan, Naib Johan menerima RM15,000, Ketiga menerima RM10,000 dan dua saguhati masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.