KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman mencadangkan agar kerajaan Sarawak memperluaskan bantuan biasiswa atau bantuan pendidikan yang meliputi bahagian teknikal.

Beliau berkata kerajaan juga boleh memperluaskan lagi kursus dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk diberikan bantuan pinjaman pendidikan kepada pelajar di negeri ini.

“Ketua Menteri kita Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan RM30 juta untuk membantu graduan-graduan yang tidak mampu untuk membuat pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),”

“Jadi, saya juga ingin mencadangkan selain dari bantuan sebegini, kerajaan juga boleh melihat untuk melebar luaskan lagi kursus-kursus dan IPT yang untuk diberikan bantuan biasiswa atau bantuan pinjaman Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan perbahasan Belanjawan Sarawak 2020 pada Persidangan DUN semalam.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana telah menyahut seruan beliau untuk membangunkan aplikasi ‘Sara-X’ melalui Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

Ujarnya, ia adalah contoh terbaik kerajaan yang melihat kepada cara-cara baru untuk membangun usahawan-usahawan teknikal.

“Dengan cabaran graduan kita mencari pekerjaan, mereka mempunyai alternatif untuk menjana pendapatan melalui keusahawanan. Saya yakin belia Sarawak mempunyai semangat yang kental dan kepakaran yang tinggi,”tegasnya.