KUCHING: Pelan tindakan untuk memajukan ekonomi digital Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Abdullah Saidol.

Beliau berkata Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 yang merangkumi pembangunan digital luar bandar juga memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur digital menurut Bernama.

“Ini dimanifestasikan dengan perlaksanaan projek SMA 300 yang sedang dalam perlaksanaan oleh pihak Sarawak Multimedia Authority (SMA).

“Projek ini merangkumi pembinaan 300 menara telekomunikasi baharu yang akan dilengkapi dengan pemancar untuk rangkaian 3G dan 4G di mana kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM795 juta untuk pembinaan menara itu,” katanya dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Menjawab soalan Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya (GPS-Jemerong) Abdullah berkata sehingga kini, pembinaan menara telekomunikasi yang lebih menumpukan di kawasan luar bandar itu telah diamanahkan kepada tujuh kontraktor melibatkan sejumlah RM283,505,776 melalui perolehan secara tender terbuka.

Sementara itu, seperti dipetik Bernama, menjawab soalan lain oleh ahli yang sama berkaitan dasar pertanian negeri dan persediaan ke arah negeri pengeluar hasil pertanian, Abdullah berkata Sarawak sedang menuju untuk mencapai ‘Net Food Exporter’ menjelang 2030.

“Antara persediaan Sarawak ialah mempelawa dan memudah sektor swasta untuk melabur dalam bidang pertanian selain memperkenal dan melaksanakan kaedah pertanian moden termasuk penggunaan teknologi digital.

“Selain itu, membina dan menaiktaraf infrastruktur pertanian seperti jalan ladang, sistem pengairan dan saliran serta mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan memperkasakan program pengembangan pertanian turut dilakukan,” katanya.