LIMBANG: Orang ramai khususnya penduduk Kampung Long Sulung dan sekitarnya digesa untuk memberikan kerjasama kepada pihak jabatan dan agensi kerajaan dalam melaksanakan Operasi Rabies yang akan pada 10 hingga 20 November 2019 nanti.

Menurut wakil Komuniti Penan Kampung Long Sulung Francis Ngo penyakit rabies yang dibawa anjing ini amat merbahaya kepada manusia dan meminta penduduk mengikuti setiap arahan semasa Operasi Rabies.

“Penyakit bawaan anjing yang dikenali sebagai rabies ini sangat merbahaya kepada manusia.

“Berdasarkan kepada pemahaman saya, penyakit ini boleh menyebabkan kematian.

“Saya memohon kepada penduduk Kampung Long Sulung dan orang ramai untuk menjaga dan mengurung anjing dari berkeliaran semasa Operasi Rabies yang dijalankan pada 10 hingga 20 November 2019 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir di Program Gaya Hidup Sihat dan Kempen Kesedaran Pencegahan Rabies Daerah Limbang 2019 pada Rabu.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Langit Ipang daripada komuniti Kelabit Kampung Long Napir berkongsi pengetahuannya mengenai penyakit Rabies ini yang boleh berjangkit disebabkan gigitan anjing.

“Apa yang saya tahu penyakit Rabies ini datangnya dari anjing. Kalau menggigit orang dan tidak ada ubat jadi penyakit juga. Kalau kena air liur berjangkit penyakit juga,” ujarnya.

Pada majlis itu, telah diadakan 4 taklimat yang disampaikan wakil dari Pejabat Daerah Kuching, Jabatan Kesihatan Limbang, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Verteriner Limbang.

Turut diadakan simbolik penyerahan poster dan risalah penyakit Rabies kepada Ketua Kaum Kampung Long Napir Joshua sempena kempen Operasi Rabies Peringkat Daerah Limbang yang akan diadakan pada 10 hingga 20 November 2019 nanti.