Belanjawan 2020 negeri Sarawak yang bertemakan ‘Merancakkan Pembangunan untuk Kesejahteraan Seluruh rakyat Sarawak’ dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.891 bilion telah dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada persidangan DUN yang bermula Isnin lepas. Peruntukan RM9.891 bilion ini mencakupi RM6.597 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM3.294 bilion lagi bagi perbelanjaan mengurus.

Bagi tahun 2020, keluh kesah serta rintihan rakyat di luar bandar terutama para pekebun kecil tanaman komoditi seperti kelapa sawit, lada, getah dan sebagainya mendapat perhatian daripada kerajaan dalam belanjawan 2020. Beberapa tahun kebelakangan ini, harga tanaman komoditi ini tidak menentu yang menyebabkan sumber pendapatan para pekebun kecil terjejas. Ini telah memberi kesan kepada kehidupan seharian para pekebun kecil ini yang bergantung kepada hasil daripada tanaman komoditi ini sebagai sumber pendapatan utama.

Keprihatinan kerajaan Sarawak akan menubuhkan Agriculture Facilitation Fund (AFF) Programme yang berperanan menyediakan dana serta bantuan untuk membantu para usahawan di luar bandar, pekebun kecil dan petani yang terlibat dalam aktiviti pertanian. Peruntukan sebanyak RM265 juta telah disediakan dalam belanjawan 2020 bagi memastikan inisiatif kerajaan dalam membantu para pekebun kecil ini.

Inisiatif murni kerajaan Sarawak ini memang dinanti-nantikan oleh para pekebun kecil di luar bandar selama ini. Rintihan mereka akhirnya terjawab apabila peruntukan telah disediakan dalam belanjawan 2020 bagi memastikan beban serta penat lelah para pekebun kecil dalam mengusahakan tanaman komoditi ini boleh dikatakan berbaloi.

Persoalannya, bagaimanakah penyaluran bantuan ini dilakukan oleh kerajaan agar ia sampai kepada golongan sasaran? Apakah pendekatan yang digunakan kerajaan bagi memastikan harga pasaran tanaman komoditi ini tidak merugikan para pekebun kecil? Apakah jenis bantuan yang bakal diberikan kepada para pekebun kecil ini? Persoalan ini harus diteliti dengan sebaik-baiknya.

Para pekebun kecil di luar bandar memang terjejas dengan harga tanaman komoditi yang tidak menentu. Bagi yang mengusahakan tanaman lada hitam, harga pasaran lada hitam yang jauh telah turun menyebabkan ramai para pekebun kecil ini tidak mampu untuk menjaga tanaman yang sedia ada. Ini kerana kos untuk menjaga amat tinggi dan tidak berbaloi untuk diusahakan. Ia tidak memberi pulangan yang setimpal dengan kos serta penat lelah para pekebun kecil ini.

Harga racun serta baja terlalu tinggi dan tidak pernah turun seperti harga pasaran lada antara keluhan para pekebun kecil ini. Kos untuk mengeluarkan hasil terlalu tinggi yang nyata membebankan para pengusaha pekebun kecil ini. Persoalannya, adakah bantuan seperti racun dan baja ini berbaloi tetapi tiada perubahan kepada harga pasaran lada hitam ternyata dilema kepada para pekebun kecil?

Kerajaan seharusnya perlu campur tangan dalam memastikan harga baja serta racun yang digunakan dalam pertanian seperti lada hitam, getah dan kelapa sawit tidak membebankan pekebun kecil di luar bandar ini. Kos racun dan baja yang terlalu tinggi tidak setimpal dengan harga pasaran tanaman komoditi ini.

Bagi memastikan kelestarian pertanian dalam kalangan para pekebun kecil ini, pihak kerajaan sama ada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan perlu campur tangan dalam memastikan harga racun serta baja yang digunakan oleh para pekebun kecil ini tidak terlalu tinggi atau membebankan mereka. Kawalan harga perlu dilakukan oleh kerajaan terhadap barangan pertanian seperti racun dan baja ini.

Apa pun, dengan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak dalam belanjawan 2020 ini sudah pasti sedikit melegakan para pekebun kecil terutama di kawasan luar bandar. Apa yang perlu kerajaan pastikan adalah, setiap agensi pelaksana harus memastikan tujuan peruntukan diberikan sampai kepada para pekebun kecil ini. Prinsip ketelusan harus diterapkan dalam melaksanakan belanjawan 2020 ini.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.