KUCHING: Majlis Media Sarawak dan Institut Media Sarawak perlu diwujudkan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, mekanisme baharu itu perlu ditubuhkan untuk mengawal dan menangani gejala salah guna media sosial dalam menyebar maklumat tidak tepat.

Jelasnya, penubuhan Majlis Media Sarawak bertanggungjawab menyelaras peranan media di Sarawak dan menjadi jambatan di antara organisasi media dan kerajaan. 

Beliau berkata demikian pada sesi Perbahasan Belanjawan Sarawak 2020 semasa Persidangan DUN Sarawak ke-18, semalam.

Miro menambah, Institut Media Sarawak juga berperanan sebagai institusi pengamal media mendapat ilmu penting berkenaan dunia kewartawanan dan penggunaan aplikasi terbaru dan terkini dalam dunia kewartawanan.

Dalam pada itu, Miro juga menyentuh peranan  Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) walaupun tanpa bantuan kerajaan persekutuan ianya masih mampu berdiri di kaki sendiri.

Katanya, peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan Sarawak 2020 membezakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang belum jelas sumber kewangannya.