KUCHING: Konsep model Revenue Re-engineering dan Alternative Financial yang diamalkan Kerajaan Sarawak bertujuan untuk menjana pendapatan negeri bagi Belanjawan 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin bin Abdul Rahman menyokong pendekatan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dalam melaksanakan Belanjawan 2020 Sarawak menerusi pendekatan model Revenue Re-engineering and Alternative Financing yang dilaksanakan dengan menyaksikan Sarawak berupaya untuk menjana pendapatan.

Mengambil contoh penubuhan Development Bank of Sarawak (DBOS) yang dikawal selia oleh Bank Negara, yang menfokuskan kepada Projek-Projek diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.

“Dengan DBOS, kerajaan meletakkan wang deposit ke dalam DBOS dan wang tersebut boleh digunakan oleh DBOS untuk menjana lagi pendapatan dan hasil pendapatan itu boleh diberi semula oleh oleh DBOS kepada kerajaan dalam bentuk dividen.

“Selain itu juga wang deposit berkenaan boleh digunakan untuk membiayai projek-projek kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan Sarawak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18, pada Khamis.

Fazzrudin turut menjelaskan sebelum ini simpanan Sarawak adalah dalam bentuk tunai yang didepositkan ke dalam bank-bank komersil lain untuk menjana pendapatan dari dividen atau interest.

Sudah tentu bank-bank tersebut juga akan menggunakan wang tersebut untuk menjana pendapatan bank itu sendiri.

“Tetapi jika agensi kerajaan atau badan berkanun mengambil pinjaman dari bank berkenaan, mereka akan dikenakan interest.

“Dalam erti kata lain, wang kerajaan sendiri digunakan untuk memberi pinjaman kepada kerajaan dan kerajaan membayar interest lagi untuk pinjaman tersebut,” ujarnya.