KUCHING: Peruntukan sebanyak RM797 juta dalam Belanjawan Sarawak 2020 untuk pembangunan pertanian moden diyakini mampu menarik minat golongan muda termasuk lepasan universiti berkecimpung dalam industri berkenaan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, 28 pertubuhan peladang kawasan (ppk) di negeri ini perlu bersama menjayakan inisiatif kerajaan negeri dalam membangunankan pertanian moden.

Menurutnya, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa program di seluruh Sarawak untuk tujuan itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Adun Katibas Datuk Ambrose Blikau Enturan Pada Persidangan Dun Sarawak Ke-18, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat dua program iaitu fertigrasi dan hidroponik diperkenalkan untuk menarik golongan muda terlibat dalam pertanian moden.

Jelasnya, bagi Stesen Pertanian Nanga Engkuah, Katibas program yang dijalankan di stesen itu ialah input ladang, bantuan padi bukit, skim tanaman getah dan skim pembangunan ternakan.