KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melaksanakan beberapa janji dan aktiviti seperti yang telah dibentangkan dalam Belanjawan Sarawak 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin bin Abdul Rahman berkata tindakan ini sejajar dengan keupayaan Kerajaan Sarawak menuaikan janjinya bagi memastikan rakyat menerima manfaatnya.

“Tahniah atas fokus untuk pembangunan luar bandar dengan penubuhan Upper Rajang Development Agency (URDA), Highland Development Agency (HDA) Northern Region Development Agency (NRDA), Samarahan Development Agency yang sudah tentu akan dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan luar bandar,” katanya.

Ini termasuk juga bantuan Kerajaan Sarawak dalam membiayai perjalanan pulang pelajar-pelajar Sarawak semasa musim perayaan, anak-anak yang baru lahir selepas 1 Januari 2019 mendapat bantuan RM1,000 dan sebagainya dengan menggunakan peruntukan dalam Belanjawan 2019 Sarawak.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan Sarawak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18, pada Khamis.

Fazzrudin turut mencadangkan langkah atau inisiatif untuk mewujudkan mungkin Sustainable Urban Development Agency untuk merencanakan pertumbuhan ekonomi bandaraya ke arah bandaraya global.

Dalam pada itu, Fazzrudin juga menyambut baik pengumuman Ketua Menteri yang memperuntukan RM30 juta bagi membantu graduan dalam membayar kembali hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas kegagalan Kerajaan Persekutuan memansuhkan PTPTN seperti yang dijanjikan.

Bagaimanapun, beliau turut mencadangkan bantuan ini diteruskan kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam bidang teknikal secara lebih meluas lagi.

“Saya ingin mencadangkan selain dari bantuan sebegini, kerajaan juga boleh melihat untuk melebar luaskan lagi kursus-kursus dan IPT-IPT yang untuk diberikan bantuan biasiswa atau bantuan pinjaman Pendidikan.

“Pendidikan yang meliputi bahagian teknikal yang lebih luas lagi,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan kegembiraan di atas usaha Kerajaan Sarawak mewujud dan memperluaskan lagi Centre of Technical Excellence (CENTEXS) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) bagi memberi peluang kepada belia-belia mempelajari kemahiran teknikal.